Wednesday, 20 April 2011

Tidak Ada Kebaikan Yang Sia-Sia


“APA gunanya kalau saya membaca Al-Quran tetapi tidak memahaminya?” Tanya seorang murid.
“Bacalah dahulu, perlahan-lahan nanti Tok akan ajar maknanya.” Jawab gurunya.
Murid itu pun terus membaca. Hari demi hari. Bulan demi bulan. Lama kelamaan dia berasa jemu dan datang menemui gurunya semula.
“Tok, saya masih berasa usaha membaca tanpa memahami makna Al-Quran ini sesuatu yang tidak berfaedah, “ katanya.
“Baiklah. Tok akan menyuruh kamu melakukan satu pekerjaan yang lebih bermakna,” kata Tok Guru tresebut. Wajah murid itu kembali ceria.
Tok guru menyerahkan sebuah raga dan berkata, “Kamu cedok air di sungai itu dengan raga ini, dan curahkan airnya ke dalam kolah madrasah kita.”
Si Murid kehairanan. Mesti ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku, detik hatinya. Dia ke sungai dan mencedok air dan secara tergesa-gesa dia berlari untuk menuangkan air ke dalam kolah. Namun sebaik sampai, air telah habis, menitis keluar dari celah-celahraga yang jarang itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang kali. Air menitis keluar dari celah raga dan kolah masih tidak dapat dipenuhi.
“Tok, perbuatan ini lebih tidak bermakna. Kalau Tok gantikan raga ini dengan timba, barulah ia boleh menampung air dan kolah akan penuh!”
Tok guru tersenyum. “Setiap yang tok suruh pasti ada maknanya,” katanya perlahan.
“Apa maknanya tok?”
“Menimba air dengan raga samalah dengan membaca Al-Quran walaupun tidak memahami maknanya,” jawab Tok guru.
“Sama-sama tidak ada faedahnya. Begitu?”
“Tidak, sama-sama ada faedahnya,” pintas tok guru.
Anak muridnya jadi lebih hairan.
“Cuba kamu tengok raga yang kamu gunakan sejak tadi itu. Mulanya ia kotor, tetapi sekarang bukankah sudah bersih? Walaupun air di kolah tidak penuh tetapi raga yang kamu gunakan sudah bersih. Betul tak?”
“Betul Tok,” jawab anak murid mengiakan.
“Ha, begitulah juga hati kamu ketika membaca Al-Quran berulang-ulang kali. Walaupun belum memahami maknanya, tetapi paling tidak hati itu akan dibersihkan daripada kelalaian dan gangguan syaitan.
Muridnya mengangguk. Hebat, rupa-rupanyaTok Gurunya mendidik, bukan sekadar mengajar!
 
Pengajaran : Jangan memandang remeh sesuatu amalan baik, walaupun sekiranya kita belum nampak manfaat dan hikmahnya. Dan jangan gopoh untuk “meningkat” dalam perjalanan menjadi hamba Allah yang baik dengan tindakan-tindakan yang melanggar ketertiban amal dan kehalusan adab. Ingat, setiap yang baik pasti ada kebaikannya.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#6

Tuesday, 19 April 2011

Busuk Betul

“BUSUK betul di sini,” keluh seorang petani ketika berada di luar rumahnya. Anak petani itu melihat sahaja kerenah bapanya.
“Aku hairan, Sebegitu banyak pokok bunga yang aku tanam, tapi halaman rumah ini masih busuk juga.”
Orang tua itu masuk ke dalam rumah.
“Eh, masih busuk juga. Pelik.”
Orang tua itu terus marah-marah. Kenapa ke mana sahaja dia pergi terhidu bau busuk.
Tiba-tiba anaknya masuk lalu berkata, “Ayah, cuba ayah lihat cermin…”
Orang tua itu pun pergi ke depan cermin. Dia terkejut kerana didapati pada hidungnya terpalit baja tahi ayam yang digunakan di kebun pagi tadi.
Patutlah ke mana sahaja dia pergi berbau busuk… rupa-rupanya yang busuk bukan orang atau tempat yang lain, tetapi tahi yang tepalit di hidungnya sendiri!
Pengajaran : Kejahatan atau keburukan yang selalunya kita nampak ada kalanya berpunca daripada kita sendiri. Apabila kita asyik nampak akan kejahatan orang lain, boleh jadi itu petanda kita sendiri yang jahat. Tidak hairan kalau orang yang berprasangka dan prejudis sering bertemu dengan keburukan dalam hidupnya.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#5

Saturday, 16 April 2011

Harga Ikan Mahal


SEORANG guru sufi sedang termenung di tepi laut yang sedang bergelora. Renungnya jauh, lama dan mendalam. Tiab-tiba seorang anak muridnya member salam dan bertanya, “Apa yang direnung begitu dalam wahai Tok Guru?”
Guru sufi itu tersenyum.
“Aku sedang tafakur mencari hikmah di sebalik laut yang bergelora ini…”
“Tok Guru melihat sesuatu yang tersirat? Tok Guru melihat suatu hakikat?”
Masih tersenyum.
“Sekarang, kau ambil alih tempatku. Renungilah laut yang sedang bergelora ini. Carilah yang tersirat. Selamilah yang hakikat.”
Anak murid itu pun memejamkan mata. Diam dan mula bertafakur. Lama kemudian, Tok Guru datang semula lalu bertanya, “Kau dapat sesuatu yang tersirat daripada tafakurmu?”
“Ya Tok Guru!” jawab anak murid itu gembira.
“Apakah itu?”
“Kalau laut bergelora Tok Guru… harga ikan mahal!”
Tok Guru menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pengajaran : Benarlah kalau dikatakan ada ilmu yang tidak dapat diajar tetapi hanya boleh dipelajari. Hikmah umpamanya hanya dapat dimiliki dengan kebersihan hati bukan ketajaman akal semata-mata.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#5

Erti Suatu Kebaikan

OMBAK besar bersama ribut baru melanda sebuah kampung nelayan. Di pantai terdampar ribuan ketam-ketam kecil yang dibawa bersama ombak besar itu. Apabila ribut reda dan cuaca tenang semula kelihatan seorang tua sedang mengutip ketam-ketam yang sudah "nyawa-nyawa ikan" kerana kekeringan itu lalu dicampakkannya semula ke laut. Seekor demi seekor.
Perbuatan orang tua itu diperhatikan oleh sekumpulan anak muda yang kebetulan diberada dipantai itu. Mereka pelik melihat betapa tekunnya orang tua tersebut mengutip satu demi satu ketam-ketam kecil untuk dicampakkan ke laut.
"Atuk buat apa tu?" tegur seorang daripada anak muda itu.
"Kutip ketam ni untuk buang semula ke laut," jawab orang tua itu.
"Kenapa?"
"Kalau dicampakkan ke laut kan ketam ini akan berpeluang hidup?"
"Atuk nak kutip semua ni ke?" tanya mereka lagi sambil menunjukkan ribuan ketam-ketam yang terdampar di pantai itu.
"Begitulah. Tapi mana atuk terdaya... ini pun dah cukup letih," akui orang tua itu. Namun tangannya masih sibuk mengutip dan mencampakkan ketam-ketam itu ke laut. Perlahan-lahan.
Anak muda itu senyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Sia-sia sahaja atuk. Ribuan ketam ini akan mati. Atuk tak akan sempat dan mampu menyelamatkan semuanya."
"Eh, tidaklah."
"Kenapa?"
"Bagi kita mungkin nampak sia-sia sebab apalah ertinya menyelamatkan seekor dua ketam di berbanding ribuan yang lain yang akan mati tetapi bagi seekor ketam yang kita selamatkan itu, ia terlalu besar ertinya."
"Kenapa atuk?"
"Kerana ia melibatkan soal hidup atau matinya, betul tak?" tanya orang tua itu.
Anak-anak muda yang memandang sinis sejak tadi terdiam melihat kebijaksanaan dan keprihatinan orang tua itu.

Pengajaran : Jangan fikir besar atau kecilnya satu kebaikan apabila kita ingin melakukannya. Mungkin apa yang dianggap kecil oleh kita sangat besar pada yang menerimanya. Apatah lagi bila kita sedar Allah menilai setiap kebaikan yang kita buat. Mungkin suatu yang dianggap kecil oleh kita adalah besar pada pandangan Allah justeru keikhlasan dan kesabaran dalam melaksanakannya.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#5

Monday, 11 April 2011

Hanya Setempayan Air…


“ESOK, setiap satu keluarga di kampung ini mesti menyumbangkan semangkuk susu untuk membantu askar-askar kita yang sedang dalam perjalanan menuju ke medan perang untuk mempertahankan Negara,” kata seorang penghulu dengan begitu bersemangat sekali dalam satu perhimpunan seluruh penduduk kampungnya.
“Tidak banyak, hanya semangkuk susu,” tambah penghulu itu lagi.
“Saya akan letakkan sebuah tempayan besar di halaman rumah saya pada petang ini. Kamu semua boleh menuang semangkuk susu yang dimaksudkan mulai petang ini sehingga awal pagi esok. Tentera kita akan sampai sebelum tengah hari dan dapatlah mereka minum sebelum meneruskan perjalanan pada waktu petangnya,” Jelasnya panjang lebar.
“Ah, aku akan membawa hanya semangkuk air dan tidak akan ada siapa yang tahu bila aku campurkan dengan susu yang banyak dalam tempayan besar itu,” bisik hati seorang penduduk kampung.
“Kalau aku tuangkan semangkuk air ke dalam tempayan, tidak menjejaskan apa-apa. Hari pun gelap,” detik rasa seorang penduduk yang lain.
Esoknya, alangkah terkejutnya si penghulu dan seluruh penduduk kampung bila yang terkumpul di dalam tempayan itu bukanlah susu tetapi setempayan air!

Pengajaran : Sikap “tidak apa”, lepas tangan dan curi tulang akan merosakkan semangat setia kawan dan keberkesanan satu regu kerja yang baik. Sikap pentingkan diri mudah berjangkit. “Feeling of God in you” ialah jawapan kepada setiap diri untuk menolak anasir-anasir yang boleh merosakkan keikhlasan semasa kita bekerja dalam kumpulan.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#4

Saturday, 9 April 2011

Jamuan Makan Tok Guru

SEORANG Tok Guru telah dijemput ke suatu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, Tok Guru itu pun pergi ke majlis tersebut.
Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dirai atau dijemput untuk makan. Tuan rumah lebih mengutamakan orang kenamaan; orang kaya, orang berpangkat dan ternama mendapat keutamaan. Tok Guru dipinggirkan.
Menyedari sikap "pilih bulu" tuan rumah, Tok Guru pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaiannya. Kali ini beliau memakai pakaian yang mahal dan gemerlapan.
Kemudian dengan segera beliau pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dijemput dengan hormat menjamu selera makanan yang lazat-lazat oleh tuan rumah.
Tiba-tiba Tok Guru menuangkan lauk-pauk dan makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah ke atas bajunya, seluar dan seluruh pakaiannya yang mahal-mahal itu.
"Mengapa?" tanya orang ramai.
Tok Guru menjawab. "Tuan rumah ini hendak menjamu pakaianku, bukan diriku!"

Pengajaran : Pandangan kita terhadap diri kita sendiri adalah jauh lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap diri kita. Inilah yang dikatakan harga diri. Dan inilah syarat utama untuk berjaya dalam hidup.
Jadi, jangan risau kalau kita tidak dihargai, tetapi risaulah kalau benar-benar diri kita susah tidak berharga. Harga diri kita bukan terletak pada barang-barang bernilai yang kita pakai atau miliki, tetapi pada ilmu, akhlak dan takwa yang ada di dalam diri.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#4

Friday, 8 April 2011

Keldai Yang Memakai Serban


SEORANG ahli hikmah masuk ke dalam sebuah kampung dengan mengenderai seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin istirehat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya.
Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka, orang kampung itu pun segera menyambutnya.
“Assalamualaikum orang alim,” sapa seorang lelaki.
“Selamat datang tuan,” sapa seorang yang lain.
Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir semua penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut.
“Tolong ajar kami…” pinta mereka.
“Jadilah guru kepada kami semua”.
“Syukur tuan datang. Jika tidak jahiliah kami.”
Ahli hikmah turun dari keldainya dan bertanya, “Bagaimana kamu semua tahu yang aku ini orang alim?”
Orang-orang kampung itu pun menjawab, hampir serentak, “Kerana kami lihat tuan memakai serban besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami.”
Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus memakaikan serban itu di atas kepala keldainya.
“Ha, sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar. Sila kamu semua belajar daripadanya.”
Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka mendapat “pelajaran pertama” daripada ahli hikmah itu dengan cara yang begitu bersahaja, tetapi sangat sinis sekali.
Ya, pengajaran ada kalanya pahit sedikit.


Pengajaran : Ramai antara kita yang masih mengukur nilai dalaman seseorang hanya berdasarkan rupa lahiriahnya. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda yang baik atau buruknya keperibadian seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau material, adalah tidak tepat.
Pakaian, hanyalah umpama “topeng” yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun, pastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai!

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#4

Thursday, 7 April 2011

Arah Yang Tak Tentu Arah


SEORANG lelaki yang sedang sesat jalan, berada di empat persimpangan.
“Mana satu simpang yang harus saya pilih?” tanyanya kepda seorang yang kebetulan berada di situ.
“Kamu hendak ke mana? Ke mana destinasimu?”
“Saya tidak tahu…” jawab lelaki itu.
“Kalau begitu, apa dikisahkan simpang yang mana… Pilih saja mana-mana satu.” 

Pengajaran : Tidak ada angin yang memihak kepada kapal yang tidak ada pelabuhan untuk dituju. Sebaliknya, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan dalam hidupnya. Tanpa panduan wahyu, manusia akan sibuk mencari. Namun, mencari sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti, apakah mungkin ditemui?

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#3