Friday 8 April 2011

Keldai Yang Memakai Serban


SEORANG ahli hikmah masuk ke dalam sebuah kampung dengan mengenderai seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin istirehat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya.
Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka, orang kampung itu pun segera menyambutnya.
“Assalamualaikum orang alim,” sapa seorang lelaki.
“Selamat datang tuan,” sapa seorang yang lain.
Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir semua penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut.
“Tolong ajar kami…” pinta mereka.
“Jadilah guru kepada kami semua”.
“Syukur tuan datang. Jika tidak jahiliah kami.”
Ahli hikmah turun dari keldainya dan bertanya, “Bagaimana kamu semua tahu yang aku ini orang alim?”
Orang-orang kampung itu pun menjawab, hampir serentak, “Kerana kami lihat tuan memakai serban besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami.”
Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus memakaikan serban itu di atas kepala keldainya.
“Ha, sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar. Sila kamu semua belajar daripadanya.”
Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka mendapat “pelajaran pertama” daripada ahli hikmah itu dengan cara yang begitu bersahaja, tetapi sangat sinis sekali.
Ya, pengajaran ada kalanya pahit sedikit.


Pengajaran : Ramai antara kita yang masih mengukur nilai dalaman seseorang hanya berdasarkan rupa lahiriahnya. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda yang baik atau buruknya keperibadian seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau material, adalah tidak tepat.
Pakaian, hanyalah umpama “topeng” yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun, pastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai!

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#4

No comments:

Post a Comment