Sunday 3 April 2011

Ritual Tanpa Spiritual

SEORANG ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, si kucing akan ikut bersama. Keadaan ini menimbulkan masalah, terutamanya apabila dia sedang menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasi ketua sami terganggu apabila kucingnya itu mengelus-ngelus di sisinya.
Setelah berfikir untuk mencari jalan penyelesaian, akhirnya ketua sami mendapat satu ikhtiar: setiap kali sebelum melakukan penyembahan, ia mengikat si kucing di sebuah tiang ditepi kuil.
Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama.
Perlakuan ketua sami itu sangat diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya.
Beberapa tahun berlalu, ketua sami meninggal dunia. Ketua sami yang baru pun dilantik. Begitu pun, setiap kali ketua sami yang baru hendak mengepalai upacara penyembahan, beliau akan mengikat kucing yang sama pada tiang yang sama juga.
Tidak berapa lama, kucing itu pula mati. Ironinya, ketua sami yang baru mencari kucing baru sebagai pengganti untuk diikat pada tiang yang sama setiap kali penyembahan berhala.
Begitulah rutin itu berlaku, tahun demi tahun. Kucing dan ketua sami datang dan pergi, silih berganti. Akhirnya terciptalah satu ritual dalam agama tersebut; sebelum ketua sami hendak mengetuai penyembahan berhala, dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambati pada tiang kuil!

Pengajaran : Sering berlaku di dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan ritual dengan nilai-nilai spiritual telah terlindung oleh sikap 'taklid' secara membuta tuli. Penganut yang di belakang hari, kerap menjadi pak turut tanpa mengerti sebab dan tujuan amalan tersebut. Tanpa disedari agama yang bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#2

No comments:

Post a Comment