Thursday, 7 April 2011

Arah Yang Tak Tentu Arah


SEORANG lelaki yang sedang sesat jalan, berada di empat persimpangan.
“Mana satu simpang yang harus saya pilih?” tanyanya kepda seorang yang kebetulan berada di situ.
“Kamu hendak ke mana? Ke mana destinasimu?”
“Saya tidak tahu…” jawab lelaki itu.
“Kalau begitu, apa dikisahkan simpang yang mana… Pilih saja mana-mana satu.” 

Pengajaran : Tidak ada angin yang memihak kepada kapal yang tidak ada pelabuhan untuk dituju. Sebaliknya, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan dalam hidupnya. Tanpa panduan wahyu, manusia akan sibuk mencari. Namun, mencari sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti, apakah mungkin ditemui?

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#3

Wednesday, 6 April 2011

Ego Si Katak


SEEKOR anak katak pulang ke pangkuan ayahnya dengan tercungap-cungap.
“Ayah, saya baru pulang daripada bermain di sawah padi. Saya jumpa seekor binatang namanya kerbau…”
“Ah, apa nak hairankan?” kata bapa katak walaupun sebenarnya dia tidak pernah melihat kerbau.
“Kerbau sangat besar ayah…”
“Ah, ada sebesar ini?” tanya bapa katak sambil mengembungkan perutnya.
“Tak ayah, lebih besar lagi…”
“Ada sebesar ini?” kata bapa katak sambil membesarkan lagi perutnya.
Anak kata mengeleng-gelengkan kepalanya. Bapa katak bertambah geram dan marah.
“Ada sebesar ini?” Perutnya menjadi sangat besar hingga nafasnya tercungap-cungap.
Anak katak terus menidakkannya. Perut bapa katak dikembugkan lagi. Begitulah berlaku berulang-ulang kali hingga…
Pop! Perut bapa katak meletup. Bapa katak pun mati. Anaknya kebingungan, mengapa ayahnya sanggup mati hanya kerana hendak menandingi ‘kebesaran’ seekor kerbau.


Pengajaran : Berlagak kaya menjadikan kita papa. Ada pihak yang begitu beria-ia ingin mempromosikan atau menunjuk-nunjuk kekayaannya, padahal ahli hikmah mengungkapkan, jika seseorang perlu memberitahu orang lain yang dia kaya, dia sebenarnya tidak kaya. Perlukan Bill Gates misalnya, memberitahu dunia yang dia kaya? Ironinya, ramai si kaya ‘jadi-jadian’ yang menanggung hutang secara diam-diam atau hidup menjadi penipu (conman) sepanjang zaman atau terpaksa mati sebagai seorang miskin pada akhir hayatnya.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#3

Tuesday, 5 April 2011

Hati Tikus

SEEKOR tikus yang bersahabat dengan seorang ahli sihir hidup dalam ketakutan di sebuah rumah besar. Apa tidaknya, dia sentiasa dikejar oleh seekor kucing besar peliharaan tuan rumah. Tidak tahan dengan penderitaannya, si tikus menemui ahli sihir.
"Tolong ubah diriku menjadi seekor kucing yang lebih besar daripada kucing di rumah ini. Aku sudah tidak tahan lagi."
Ahli sihir itu pun menukar si tikus menjadi seekor kucing seperti yang dipintanya.
Setelah menjadi kucing besar, si tikus terus mengejar kucing yang mengejarnya dahulu. Kucing umah itu lari lintang-pukang dibuatnya. Si tikus berjalan penuh bangga. Rumah itu seolah-olah dikuasainya. Tidak lama kemudian si tikus yang berubah menjadi kucing itu pun keluar dari rumah. Dia ingin berjalan-jalan di halaman rumah hinggalah ke tepi jalanraya.
Sebaik tiba di tepi jalan, datang seekor anjing mengejarnya. Si tikus yang menjadi kucing itu terkejut dan kecut. Dia bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Tolong, tolong aku wahai sahabatku tukang sihir. Ubahkan aku menjadi anjing garang yang lebih besar..."
Tanpa membuang masa, ahli sihir menggunakan kuasa sihirnya menukar si tikus dari seekor kucing menjadi seekor anjing yang besar.
Sebaik menjadi anjing yang besar, si tikus terus melompat keluar ke halaman rumah dan dikejarnya anjing yang mengejarnya dahulu. OLeh kerana badannya lebih besar, anjing itu pun lari. Sekarang, si tikus yang menjelma menjadi anjing itu semakin bangga. Dia melompat, menyalak dan berlari-larian di tepi jalan hingga ke seberang jalan.
Rupa-rupanya di seberang jalan ada sekumpulan budak nakal. Melihat anjing menyalak dan melompat-lompat, mereka jadi marah. Dengan lastik yang ada di tangan, mereka melastik si anjing itu. Batu-batu yang mengenai badan, kaki dan kepada si tikus itu sangat menyakitkan. Si tikus yang menjadi anjing besar itu lari menyelamatkan diri... kembali menemui si ahli sihir.
"Tolong, tolong... matilah aku kali ini!"
"Mengapa?"
"Aku dilastik budak-budak nakal. Tolong tukarkan aku menjadi..."
"Tak payah," pintas ahli sihir.
"Kenapa?" tanya tikus kehairanan."
"Aku boleh menukar kau menjadi apa yang kau minta. Tetapi semua itu tidak ada gunanya, selagi..."
"Selagi apa?"
"Selagi hatimu tetap hati tikus. Hati yang pengecut."


Pengajaran : Perubahan hanya dapat dilakukan bila hati telah berubah. Misalnya, ramai orang merasakan dirinya boleh menjadi seorang yang pemurah apabila telah kaya. Tetapi setelah kaya, pelbagai alasan diberikan untuk tidak membantu orang lain. Hakikatnya, orang kaya sekalipun kalau hatinya masih bakhil dia tidak akan membantu orang lain. Sifat pemurah bukan ditentukan oleh banyak atau sedikitnya harta, tetapi oleh hati yang pemurah!

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#3

Monday, 4 April 2011

Mencari Syurga Dalam Senang?

DICERITAKAN pada satu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang berehat dan bersenang-senang di tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas.
"Siapa di atas tu?" bentak Ibrahim Adham.
"Saya, pengembala kambing," sahut satu suara dari atas menjawab dengan jelas.
"Apa yang kau buat di atas atap istanaku?" tanya raja lagi.
"Aku mencari kambingku yang hilang," jawab suara itu.
"Cis pelik sungguh! Masuk akalkah bahawa kau mencari kambing yang hilang di atas atap istanaku?"
Dengan jelas suara itu menjawab, "Begitulah wahai Ibrahim... Adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilam empuk itu? Itu sama sahaja dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!"
Selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat.
Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaannya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda berjuang mendidik diri, darjat ketaqwaan semakin meningkat, hingga terkenallah baginda seorang waliullah yang tersohor.

Pengajaran : Tidak ada jalan mudah untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Justeru, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#2

Sunday, 3 April 2011

Obsesi Diri

SEORANG tuan guru berkata kepada beberapa murid kanannya, "Aku ingin melihat sejauh mana masyarakat percayakan aku."
"Bagaimana caranya tuan guru?" tanya anak-anak muridnya itu.
"Kau sebarkan berita bahawa akan muncul seekor binatang besar di hujung kampung kita pada hujung minggu ini!"
Tanpa banyak soal anak-anak muridnya pun keluar ke seluruh pelusuk kampung menyebarkan berita yang apa yang tok guru mereka ramalkan.
"Sebesar mana?" tanya orang kampung.
"10 kali ganda seekor gajah," jawab seorang anak murid itu.
Setinggi mana? Setinggi bukit agaknya. Lagi? Matanya bersinar merah. Nafasnya berapi-api."
Yang sejengkal jadi sehasta, yang sehasta menjadi sedepa. Dari mulut ke mulut berita muncul binatang besar itu menjadi tambah sensasi.
Bila tiba hujung minggu, seluruh penduduk kampung keluar untuk menanti kemunculan binatang besar itu. Mereka berarak ke hujung kampung beramai-ramai. Begitu meriah sekali. Bersorak dan melonjak-lonjak, seakan berpesta.
Ironinya. si tuan guru itu turut serta dalam perarakan.
Seorang muridnya bertanya, "Tuan guru pun ikut serta dalam perarakan ini?"
"Kenapa, apakah tak boleh?"
"Bukankah tuan guru hanya mengada-ngadakan berita tentang kemunculan binatang besar ini?"
"Ya, begitulah pada mulanya. Tetapi apabila ramai orang mula mempercayainya dan bersedia... terfikir pula olehku, manalah tahu berita ini benar-benar akan terjadi?"
Murid-muridnya kehairanan. Mereka benar-benar takjub, apakah berita tipu yang dicanangkan oleh tok guru itu turut juga menipu tok guru itu sendiri? Pelik!
Pengajaran : Takjub pada diri sendiri menyebabkan ramai orang buta pada kebenaran. Sentiasa ada justifikasi yang datang dari dalam diri sendiri untuk mentafsirkan sesuatu mengikut apa yang diingini terjadi dengan menafikan realiti. Sudah hitam, masih dikatakan putih. Hanya kerana ego dan obsesi diri.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#2

Ritual Tanpa Spiritual

SEORANG ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, si kucing akan ikut bersama. Keadaan ini menimbulkan masalah, terutamanya apabila dia sedang menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasi ketua sami terganggu apabila kucingnya itu mengelus-ngelus di sisinya.
Setelah berfikir untuk mencari jalan penyelesaian, akhirnya ketua sami mendapat satu ikhtiar: setiap kali sebelum melakukan penyembahan, ia mengikat si kucing di sebuah tiang ditepi kuil.
Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama.
Perlakuan ketua sami itu sangat diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya.
Beberapa tahun berlalu, ketua sami meninggal dunia. Ketua sami yang baru pun dilantik. Begitu pun, setiap kali ketua sami yang baru hendak mengepalai upacara penyembahan, beliau akan mengikat kucing yang sama pada tiang yang sama juga.
Tidak berapa lama, kucing itu pula mati. Ironinya, ketua sami yang baru mencari kucing baru sebagai pengganti untuk diikat pada tiang yang sama setiap kali penyembahan berhala.
Begitulah rutin itu berlaku, tahun demi tahun. Kucing dan ketua sami datang dan pergi, silih berganti. Akhirnya terciptalah satu ritual dalam agama tersebut; sebelum ketua sami hendak mengetuai penyembahan berhala, dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambati pada tiang kuil!

Pengajaran : Sering berlaku di dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan ritual dengan nilai-nilai spiritual telah terlindung oleh sikap 'taklid' secara membuta tuli. Penganut yang di belakang hari, kerap menjadi pak turut tanpa mengerti sebab dan tujuan amalan tersebut. Tanpa disedari agama yang bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat.

Sumber : anggukgeleng 108 | SOLUSI Isu#2